
Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Timur ( SMKDPT ), dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Masai pada awal penubuhannya tahun 1965. Oleh sebab bangunan yang sebenarnya belum siap dibina, murid-muridnya terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan Masai. Kumpulan murid yang pertama pada tahun 1965 adalah seramai 77 orang dengan 7 orang guru dan 3 kelas tingkatan satu sahaja.
Bilangan murid semakin meningkat tahun demi tahun. Pernah suatu ketika bilanganmurid mencapai antara 3,000 hingga 3,400 orang dari tahun 1995 hingga 1998 sekali gus menjadikan sekolah ini mempunyai bilangan murid paling ramai di Johor Bahru.Namun, dengan pembukaan beberapa buah sekolah menengah di sekitar Masai dan Pasir Gudang,kini bilangan murid bagi tahun 2006 hanya berjumlah 1656 orang ( sesi pagi dan petang ) dengan bilangan guru seramai 89 orang. Pada tahun 1969, kelas-kelas peralihan telah diadakan bagi murid-murid yang datang dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan yang mahu meneruskan pelajaran mereka dalam aliran Inggeris. Dengan ini terdapat dua aliran telah dijalankan serentak sehingga tahun 1979 apabila aliran Inggeris ditamatkan oleh kerajaan Malaysia. Pada tahun 1969 juga, sekolah ini maju setapak lagi kerana mengadakan sebuah kelas tingkatan 4 sastera dengan jumlah murid seramai 27 orang. Dengan ini para murid tidak perlu belajar di sekolah-sekolah yang terletak di bandar Johor Bahru.
Pada Ogos 1969, semua warga Sekolah Menengah Masai telah berpindah ke bangunan sendiri iaitu bangunan yang ada sekarang. Bangunan sekolah ini di atas tapak seluas 8 ekar terletak di kilometer 24 Jalan Johor Bahru – Masai. Pada awalnya, sekolah baru ini hanya mempunyai dua blok iaitu Balok A dan Blok B serta bangunan kantin sahaja. Blok A ( kini Graha Bendahara ) terdiri daripada 9 buah bilik darjah dan pejabat pengetua serta tandas guru. Manakala Blok B ( kini Graha Penghulu Bendahari ) mempunyai sebuah makmal, sebuah bilik rehat guru, sebuah bilik masak, sebuah bilik jahitan dan tandas murid.
Bagi menampung keperluan yang kian bertambah, pada tahun 1978 telah dibina Blok C ( kini Graha Temenggung ) yang mempunyai 8 bilik darjah tambahan, 2 buah makmal sains dan sebuah bilik perpustakaan manakala surau telah dibina tahun 1980. Pada tahun 1982, sekolah ini telah diperbesarkan lagi dengan pembinaan sebuah dewan besar ( Dewan Penggawa ), sebuah bengkel perusahaan ( kini Bengkel Kemahiran Hidup ) dan 8 buah bilik darjah di Blok D ( kini Graha Laksamana ). Dengan ini membolehkan para murid belajar dengan lebih selesa di dalam kelas tanpa ada lagi kelas terapung.
Mulai 1 Februari 1986, Sekolah Menengah Masai telah ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Timur. Pada tahun ini juga aliran sains telah diperkenalkan. Nama baru sekolah ini diambil sempena nama jawatan pembesar bergelar Dato’ Penggawa Timur yang menjadi wakil Sultan Johor mulai tahun 1883 untuk mentadbirdan mengawal keselamatan di Timur negeri Johor. Masai juga merupakan kawasan yan termasuk dalam lingkungan kuasa Dato’ Penggawa Timur. Pada tahun 1990, Blok E ( kini Graha Syahbandar ) siap dibina dengan mengandungi makmal kimia, makmal fizik, makmal biologi, bilik pendidikan seni, bilik kaunseling, 6 bilik darjah dan tandas murid. Perkembangan fizikal sekolah ini terus bertambah pada Februari 1991 apabila Blok F ( kini Graha Panglima ) setinggi 3 tingkat siap dibina yang mempunyai 10 bilik darjah dan 3 buah makmal sains. Akhir sekali, didirikan Blok G ( kini Graha Bentara ). Pembinaan Blok G ini adalah hasil daripada sumbangan PIBG sekolah ini.
Pada 1 Januari 1998, nama Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Timur telah diubah nama menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Timur. Bangunan terakhir dibina telah siap pada tahun 2004 iaitu makmal komputer yang kemudiannya dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Encik Jalani bin Rusni pada 4 Mac 2005. Sekolah ini semakin berkembang apabila mulai tahun 2002 hingga 2005 telah dibuka Kelas Rancangan Khas ( KRK ). Pada tahun berkenaan, sebahagian daripada murid diambil berdasarkan keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR ). Manakala mulai tahun 2006 hingga kini, pengambilan murid tingkatan satu sebahagian besarnya dikawal dengan menerima kemasukan separuhnya murid cemerlang UPSR.
SMKDPT bukan sahaja berubah wajah infrastruktur dan prasarananya malah pembangunan sumber manusia juga menunjukkan kematangan dan peningkatan profesionalisme. Murid-murid diransang dan dimotivasikan dengan memberi nama bilik darjah dengan nama-nama permata bernilai dan bersinar gemerlapan memberi inspirasi untuk mereka mencipta kecemerlangan. Didahului dengan permata Berlian, Intan, Zamrud, Baiduri, Delima, Nilam, Topaz, Firus, Mutiara dan Kecubung. Setiap permata yang dipilih memberi imej dan keperibadian tersendiri murid ibarat permata itu yang bergemerlapan menyuntik semangat untuk mereka menjadi modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Kini, seiring usia dan kematangan sekolah di landasan 41 tahun, SMKDPT terus mengorak langkah hebat dan berderap gagah mengejar dan mencipta kecemerlangan akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya dengan bertunjangkan 8 Misi dan Visi ” Gemilang Menjelang 2010”. Mudah-mudahan SMKDPT terus melakar sejarah tersendiri dan mengukir nama seharum kasturi di persada pendidikan Johor khasnya dan Malaysia amnya
pewh..
ReplyDeletelawa siot..
spe r yg wt????
huhuhuuhhuuu